BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 16 August 2011

GAYA HIDUP SIHAT MENURUT ISLAM


GAYA HIDUP SIHAT MENURUT ISLAM

     Orang Islam digalakkan bersuci dengan berwudhuk dan membersihkan badan. Berwudhuk boleh menghilangkan jangkitan kuman dan habuk-habuk daripada terus melekat di badan atau di dalam rongga-rongga. Sesungguhnya amalan berwudhuk lima kali sehari ini selari dengan tuntutan ilmu kesihatan.
     
     Selain amalan berwudhuk, solat fardhu lima waktu dan solat sunat (nawafil) yang lain juga berkeupayaan memberi ketenangan dan mengawal tekanan hormon dalam badan manusia. Solat yang khyusuk mampu memberi kesegaran kepada anggota badan dan membina kecergasan minda.  Solat yang khyusuk adalah solat yang sempurna yang melibatkan tumpuan penuh fizikal dan hati kepada Allah SWT. Dalam usaha mencapai hakikat khyusuk ini, maka kita hendaklah bermula dari amalan mengambil wudhuk dengan sempurna, melaksanakan solat dengan cermat dari segi bacaan, qiyam, rukuk, iktidal, sujud, thoma’ninah serta memahami isi bacaan.
      
     Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’aarij ayat 19: Maksudnya: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat kedekut. Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang”.  Berdasarkan ayat ini, ternyata keistimewaan amalan ibadah khusus membuktikan bahawa Islam telah menyediakan pakej penjagaan kesihatan fizikal (jasmani) dan spiritual (rohani) yang begitu diperlukan oleh manusia sejagat tanpa perlu taksub kepada konsep penjagaan kesihatan yang lain.
    
     Solat khyusuk secara zahirnya adalah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan penuh adab dan penghormatan. Kerana Dia adalah Raja di dunia dan Raja di akhirat, Raja yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa. Solat yang mencapai tahap khyusuk, bukan sahaja memberi kesan baik dalam hubungan kita dengan Allah SWT, malah berupaya membentuk keperibadian muslim yang unggul. Bukan sekadar itu sahaja, beberapa kajian daripada pakar-pakar perubatan telah memperakukan bahawa puasa Ramadan dan puasa-puasa sunat yang lain, memberi kesan yang amat baik untuk kesihatan manusia.



0 comments: